Lawas Kitchen Dan Laman Usahawan Perkasa Usahawan Tempatan Sempena Pesta Lawas 2026
LAWAS: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) terus memperkukuh pembangunan keusahawanan tempatan menerusi Lawas Kitchen dan Laman Usahawan sempena Pesta Lawas 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 8 November 2026 di Dataran Tebingan Sungai Lawas.
Majlis Pra Pelancaran Lawas Kitchen telah disempurnakan oleh Penasihat PMKS MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais yang turut dihadiri Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew, Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED, Lo Sheau Sia, Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan MINTRED, Zarifhadi Bujang, ketua-ketua jabatan Daerah Lawas serta ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum Daerah Lawas.
Lawas Kitchen menyediakan platform pemasaran dan promosi kepada 30 orang usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai jenis makanan tempatan sekaligus memberi peluang kepada usahawan mengetengahkan produk, meluaskan pasaran serta meningkatkan pendapatan, di samping mempromosikan keunikan warisan kulinari masyarakat Lawas.
Turut diperkenalkan ialah Laman Usahawan, sebuah platform perkongsian maklumat dan khidmat sokongan yang menghubungkan usahawan dengan agensi pembangunan perniagaan.
Antara pengisian utamanya ialah pengenalan kepada ENBASE (Entrepreneurship Business Ecosystem Sarawak), inisiatif MINTRED bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan Sarawak secara lebih bersepadu dan terselaras.
Laman Usahawan turut menampilkan penyertaan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Agrobank dan TEKUN Nasional yang menyediakan maklumat mengenai perkhidmatan, pembangunan kapasiti, pendigitalan perniagaan, khidmat nasihat serta peluang bantuan dan kemudahan pembiayaan kewangan kepada usahawan.
Penganjuran kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen MINTRED untuk memperluas akses usahawan kepada peluang pasaran dan sokongan pembangunan perniagaan, khususnya di kawasan luar bandar serta menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti dan pembentukan ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik di Sarawak.-EDISI UKAS