Jambatan Bandar Lawas Perkukuh Perhubungan, Pacu Pembangunan Bandar Lawas
LAWAS: Pembukaan Jambatan Bandar Lawas kepada orang awam mulai 6 November 2026 bakal memperkukuh kesalinghubungan jalan raya di daerah ini, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta membuka peluang pembangunan baharu di sekitar Bandar Lawas.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jambatan sepanjang 642 meter dengan kos RM149 juta itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan, malah menjadi pemangkin kepada perancangan pembangunan Bandar Lawas yang lebih menyeluruh dan tersusun.
Menurut beliau, jambatan berkenaan akan melengkapi jaringan jalan raya sedia ada dan projek yang sedang dilaksanakan, termasuk Laluan Pesisir Utara (Northern Coastal Highway) serta laluan Transborder yang bakal memperkukuh hubungan ke sempadan Sabah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Awal Jambatan Bandar Lawas di sini, pada Jumaat
Tambah beliau, pembinaan jambatan itu turut membolehkan kerajaan merancang pembangunan kawasan di kedua-dua belah Batang Lawas, termasuk cadangan pembangunan tebingan sungai sebagai kawasan rekreasi dan aktiviti perniagaan.
Katanya, perancangan pembangunan Bandar Lawas turut merangkumi penyediaan kemudahan bangunan awam dan kerajaan, kawasan komersial, perumahan serta kawasan lapang bagi memastikan pertumbuhan bandar lebih teratur dan seimbang.
Beliau turut menjelaskan bahawa Local Plan bagi Lawas dan Limbang sedang disediakan dengan mengambil kira potensi ekonomi wilayah berkenaan, termasuk sektor pelancongan, pertanian, penternakan, akuakultur, perikanan, industri kayu bernilai tinggi, perlombongan, minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), NRDA, agensi berkaitan, kontraktor dan konsultan atas komitmen serta kerjasama sehingga projek jambatan berkenaan berjaya mencapai siap praktikal lebih awal daripada jadual.
Berdasarkan kenyataan RECODA, projek berkenaan mencapai siap praktikal pada 15 Oktober 2026 dan dijangka memendekkan masa perjalanan antara kawasan utara dan selatan Lawas daripada kira-kira 50 minit kepada 25 minit.
Jambatan tersebut menghubungkan Jalan Pulau Salam secara terus ke Kampung Ladang Baru, sekali gus melengkapi jaringan Laluan Pesisir Utara dan memperkukuh akses ke arah Merapok serta sempadan Sabah.
Majlis perasmian rasmi jambatan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 18 November 2026 dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir isteri Timbalan Premier Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud,Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni, Pengarah Northern Region Development Agency, Datu Ubaidillah Abdul Latip, serta Dato Paulus Palu Gumbang.-EDISI UKAS