Pembangunan Darul Hana Diteruskan, 94 Unit Rumah Tambahan Dibangunkan
KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan pembangunan semula Darul Hana secara berfasa, termasuk pembinaan tambahan 94 unit rumah bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk yang terlibat dalam projek berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebanyak 564 unit rumah kediaman telah dibina bagi ketua isi rumah yang terlibat dalam program penempatan semula, manakala 209 unit rumah lagi dibangunkan di Sungai Bedaun bagi memenuhi keperluan keluarga tambahan.
“Saya mahu Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bersama agensi berkaitan terus memastikan kemajuan projek, kualiti pembinaan, penyediaan infrastruktur dan kebajikan penduduk diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Perasmian Karnival Darul Hana 2026 di Perumahan Darul Hana di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, Projek Pembangunan Darul Hana melibatkan kawasan seluas kira-kira 722 ekar di sepanjang Sungai Sarawak dengan matlamat menyediakan perumahan lebih selamat, kemudahan asas yang lebih baik serta persekitaran kediaman yang selesa dan terancang.
Katanya, pembangunan semula kawasan itu turut mengambil kira sejarah penempatan, hubungan kekeluargaan dan keperluan penduduk yang telah menetap di kawasan berkenaan sejak beberapa generasi.
“Kita perlu memahami bahawa kejayaan penempatan semula bukan hanya bergantung pada pembinaan rumah, tetapi juga keupayaan penduduk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” ujarnya.
Beliau turut mahu LCDA dan agensi berkaitan memberikan perhatian kepada penyediaan ruang perniagaan, kemudahan rekreasi, kawasan hijau serta kemudahan sosial bagi memastikan perumahan itu berkembang sebagai komuniti moden, selamat dan tersusun tanpa mengabaikan identiti masyarakat setempat.
Dalam majlis sama, Affin Bank menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Masjid Darul Hana, manakala LCDA menyalurkan sumbangan zakat berjumlah hampir RM50,000 antaranya kepada masjid dan surau di kawasan Darul Hana serta beberapa institusi pendidikan, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik, SK Matu Baru dan Tabika KEMAS Kampung Gersik.
Karnival Darul Hana 2026 turut diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-10 Masjid Darul Hana dan Ulang Tahun Ke-45 LCDA sebagai platform memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan masyarakat Seberang Hilir.- EDISI UKAS