Cadangan Jalan Penghubung 200 Km Di Baram Akan Diteliti
MIRI: Kerajaan Sarawak akan meneliti cadangan pembangunan jalan penghubung sepanjang kira-kira 200 kilometer (km) di kawasan Baram dengan memanfaatkan laluan jalan balak sedia ada bagi memperluas jaringan perhubungan di kawasan pedalaman.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala itu melibatkan laluan merentasi kawasan Baram, termasuk sekitar Lapok.
“Apa yang dicadangkan oleh Datuk Gerawat ialah untuk kita melihat existing logging road yang ada. Ia akan merentasi kawasan Baram, terletak di mana Lapok Road.
“Jadi, apa yang dicadangkan kita boleh pertimbangkan dan ia menjadi satu road artery yang boleh menghubungkan 3M2L road,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Kebudayaan Orang Ulu, Federation of Orang Ulu Associations Sarawak Malaysia (FORUM) di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, cadangan itu selaras dengan usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya di kawasan Baram sehingga ke Belaga bagi meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pembangunan jangka panjang kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penelitian lanjut perlu dilaksanakan bagi menentukan kesesuaian jajaran serta keperluan pembangunan sebelum sebarang keputusan dibuat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir