RM1.25 Bilion Pacu Pembangunan Menyeluruh DUN Tellian
MUKAH: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian menerusi penyaluran peruntukan berjumlah RM1.25 bilion.
Royston Valentine berkata, ini adalah bagi pelaksanaan lima pecahan projek utama di mana ia mempercepat pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, peruntukan itu disalurkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Projek Rakyat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 serta pembiayaan alternatif Kerajaan Sarawak.
Pelaksanaannya jelasnya memberi tumpuan kepada keperluan asas masyarakat, termasuk pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, penyelenggaraan tebing sungai, pembesaran kampung dan penyediaan rumah mampu milik.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Cawangan N.57 Tellian di sini pada Sabtu.
Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, RTP bermula 2021 hingga 2026 dengan sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan.
Bagi RADDA katanya, sebanyak RM98 juta, manakala Projek Rakyat menelan kos perbelanjaan berjumlah RM122.2 juta.
Sebanyak RM585.88 juta disediakan menerusi RMK-12 dan RMK-13, selain RM294.58 juta lagi diperuntukkan melalui pembiayaan alternatif Kerajaan Sarawak yang merangkumi lima kawasan DUN.
Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur dan keperluan asas masyarakat terus diberi perhatian.
Selain meningkatkan akses kepada kemudahan asas, pembangunan infrastruktur yang menyeluruh turut berperanan memperkukuh hubungan perhubungan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Bagi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum, Royston berkata pelaksanaan projek secara terancang dan berkesan amat penting agar pembangunan fizikal dapat disiapkan mengikut keperluan serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Sehubungan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan perlu memperkukuh penyelarasan serta pemantauan pelaksanaan projek, termasuk mengenal pasti kekangan di lapangan.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Usaha berterusan itu diharap dapat memastikan agenda pembangunan DUN Tellian dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan. - EDISI UKAS