901,857 Penerima SKAS Terima Bantuan Fasa 3 Mulai 10 November
KUCHING: Seramai 901,857 penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) layak menerima bantuan bagi tahun 2026, termasuk 26,979 penerima baharu yang akan mula menerima bayaran menerusi penyaluran Fasa 3 bermula 10 November ini.
Unit Perancang Ekonomi Sarawak menerusi satu kenyataan media pada Isnin memaklumkan, penyaluran fasa terakhir itu akan dilaksanakan secara berperingkat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang dikenal pasti berdasarkan tapisan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 Tahun 2026 mengikut kriteria kelayakan ditetapkan.
“Bagi Fasa 3, penerima sedia ada akan menerima RM360 bagi kategori isi rumah, RM200 bagi warga emas dan RM125 bagi individu bujang.
“Sementara itu, penerima baharu akan menerima jumlah bantuan penuh bagi tahun 2026, iaitu RM1,100 bagi kategori isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi individu bujang,” ujar kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan yang sama, bantuan berkenaan akan dikreditkan terus ke akaun e-dompet S Pay Global penerima.
“Sehingga 9 November 2026, seramai 783,603 penerima atau 89.5 peratus daripada keseluruhan penerima yang layak telah menebus bantuan SKAS menerusi e-dompet berkenaan.
“Penerima diingatkan supaya memastikan akaun S Pay Global masing-masing kekal aktif bagi melancarkan proses pengkreditan bantuan dan menebus bantuan sebelum 20 Disember 2026,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi penerima STR Fasa 4 Tahun 2026, semakan kelayakan SKAS hanya boleh dibuat selepas Kerajaan Sarawak menerima dan melengkapkan proses tapisan data berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Status kelayakan boleh disemak menerusi laman web rasmi SKAS di sarawak.gov.my/skas.
Untuk rekod, penyaluran SKAS 2026 dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan Fasa 1 bermula 10 Mac dan Fasa 2 pada 15 Mei lalu.
Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM680 juta bagi pelaksanaan bantuan SKAS tahun ini sebagai usaha berterusan meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. -EDISI UKAS