Empat Inisiatif Perintis TIC Sarawak Pacu Transformasi Industri Rendah Karbon
BINTULU: Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri rendah karbon menerusi empat inisiatif perintis di bawah 'Transitioning Industrial Clusters' (TIC) yang memberi tumpuan kepada transformasi pembuatan pintar, penyahkarbonan industri, ekonomi kitaran dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan merupakan langkah strategik bagi menterjemahkan aspirasi pembangunan mampan Sarawak kepada hasil yang praktikal, selain meningkatkan daya saing sektor perindustrian di peringkat global.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada tiga teras utama pembangunan Sarawak, selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Sarawak memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar. Sebab itulah kita menekankan kepentingan kelestarian dalam pembangunan.
"Kita telah mengambil langkah mengawal pelepasan karbon dan mencari sumber tenaga alternatif bagi menggantikan bahan api fosil, termasuk meneroka potensi hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Anugerah Kelestarian Bintulu atau Bintulu Sustainability Award (BiSA) di sini pada Isnin.
Jelas beliau, komitmen Sarawak terhadap pembangunan rendah karbon turut mendapat perhatian antarabangsa apabila wilayah ini diiktiraf dalam konteks pembangunan kluster industri rendah karbon baharu oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata, inisiatif pertama, Operasi Pembuatan Pintar atau 'Smart Manufacturing Operations', memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti industri melalui penggunaan teknologi digital, kesalinghubungan, automasi serta pengoptimuman proses pembuatan berasaskan data.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu turut memanfaatkan asas ekonomi digital yang telah dibangunkan Sarawak sejak 2017 bagi mempercepat transformasi sektor pembuatan ke arah operasi yang lebih cekap, pintar dan mampan.
"Inisiatif pertama ialah mewujudkan operasi pembuatan pintar. Apabila kita mempunyai pengurusan pintar, kita bukan sahaja menjaga alam sekitar, malah meningkatkan produktiviti industri melalui penggunaan teknologi digital," jelasnya.
Sementara itu, inisiatif kedua, Hab Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon Sarawak atau 'Sarawak CCUS Hub' bertujuan meneroka peluang dalam teknologi pemerangkapan dan penggunaan karbon, di samping pengeluaran hidrogen bagi menyokong usaha penyahkarbonan industri serta pembangunan aktiviti ekonomi baharu.
"Inisiatif ketiga pula melibatkan Simbiosis Industri (Industrial Symbiosis) yang menggalakkan kerjasama antara pemain industri untuk berkongsi sumber, memanfaatkan hasil sampingan pengeluaran serta mengamalkan pendekatan ekonomi kitaran.
Melalui pendekatan itu, sisa daripada sesuatu proses perindustrian berpotensi dimanfaatkan sebagai bahan mentah atau sumber bagi aktiviti pengeluaran lain, sekali gus meminimumkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber secara menyeluruh.
Mengambil contoh industri kelapa sawit, Premier Sarawak berkata, hasil sampingan industri berkenaan berpotensi dimanfaatkan untuk menghasilkan baja, makanan ternakan, bahan api penerbangan mampan (SAF) serta produk bernilai tambah yang lain.
"Jangan bazirkan sisa, sebaliknya jadikan sisa sebagai sumber ekonomi.
"Inilah asas kepada ekonomi kitaran yang bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah mampu memperkukuh ekonomi kita," katanya.
Dalam pada itu, inisiatif keempat, Inisiatif Pembangunan Bakat TIC Bintulu atau Bintulu TIC Talent Initiative' memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan keupayaan teknikal tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan transformasi industri.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato' Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari serta Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini.-EDISI UKAS