Tiga Kampung Di Kuching Terima Naik Taraf Jalan RTP Bernilai RM287,000
KUCHING: Tiga kampung di kawasan Kuching bakal menikmati kemudahan jalan raya lebih baik menerusi pelaksanaan projek naik taraf jalan kampung bernilai keseluruhan RM287,000 di bawah Rancangan Transformasi Pedalaman (RTP) 2026.
Projek berkenaan melibatkan Kampung Trombol (Fasa 2) dengan peruntukan RM100,000, Kampung Temenggong (RM87,000) dan Kampung Sri Kandong (Fasa 6) sebanyak RM100,000.
Ketiga-tiga projek itu dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan tempoh pelaksanaan selama dua bulan, bermula 29 Oktober hingga 28 Disember 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyaksikan penyerahan projek kepada kontraktor ketika mengadakan lawatan tinjauan ke lokasi berkenaan pada Isnin.
Skop kerja di Kampung Trombol merangkumi pembinaan lapisan asas jalan (road base), pemasangan lapisan premix serta tiga ujian coring bagi memastikan kualiti kerja turapan.
Di Kampung Temenggong, kerja naik taraf turut melibatkan pembinaan lapisan asas jalan, pemasangan premix dan empat ujian coring.
Sementara itu, projek di Kampung Sri Kandong merangkumi pembinaan lapisan sub-base dan road base, pemasangan premix, tiga ujian coring serta pemasangan paip pembetung HDPE sepanjang lima meter bagi meningkatkan sistem saliran.
Pelaksanaan ketiga-tiga projek itu dijangka meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, selain memudahkan pergerakan harian penduduk serta akses ke kawasan sekitar.
Inisiatif berkenaan turut memperkukuh penyediaan infrastruktur asas di kawasan kampung bagi menyokong keperluan dan kesejahteraan masyarakat setempat. -EDISI UKAS