Pendalaman Muara Sungai Baram Dijangka Siap Hujung Tahun, Buka Laluan Kapal Lebih Besar
MIRI: Projek mendalamkan muara Sungai Baram yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini bakal meningkatkan keupayaan laluan navigasi bagi membolehkan kapal lebih besar memasuki kawasan berkenaan, sekali gus menyokong perkembangan aktiviti perdagangan dan perindustrian di Kuala Baram.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan Pelabuhan Miri serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan maritim bagi menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
“Pihak pengurusan Pelabuhan Miri memaklumkan bahawa kerja pendalaman berkenaan dijangka selesai pada penghujung tahun ini, tertakluk kepada keadaan cuaca,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai, di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna sungai, khususnya nelayan dan pengendali bot, supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi tanda navigasi dan arahan keselamatan sepanjang pelaksanaan projek.
“Di sungai pun ada tanda lalu lintas seperti di atas jalan raya. Jadi kita perlu mematuhi peraturan dan arahan itu,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa pengendali bot perlu memastikan bot berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, selain menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai amalan wajib ketika menjalankan aktiviti di sungai.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk supaya segera melaporkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekiranya mengesan kehadiran buaya di sungai atau parit bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Katanya, SFC telah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani isu kehadiran reptilia berkenaan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk setempat.
“Kalau nampak buaya di parit atau di mana-mana, tolong hubungi SFC supaya mereka dapat datang menangkap buaya itu,” ujarnya.
Program berkenaan turut menampilkan ceramah ‘3M Buaya: Mengenali, Memahami dan Memulihara’ oleh SFC serta perkongsian Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) mengenai keselamatan, kepentingan dan kebersihan sungai. -EDISI UKAS