Lima Rumah Panjang Di Sarikei Terima Manfaat Pembangunan Jalan Raya & Sistem Perparitan
SARIKEI: Sebanyak lima buah rumah panjang di kawasan ini menerima manfaat daripada pelaksanaan projek pembinaan jalan raya dan sistem perparitan.
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii, penyediaan infrastruktur asas yang baik penting bukan sahaja untuk memudahkan urusan harian penduduk, malah menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar serta menyokong aktiviti ekonomi setempat.
“Keperluan penduduk sentiasa diberi perhatian tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan projek pembangunan infrastruktur di lima rumah panjang di kawasan Sarikei, pada Isnin.
Rumah panjang terlibat ialah Rumah Ugil Rebai, Rumah Lingga Ujang, Rumah Ngelai Ampawi, Rumah Bajut Pak dan Rumah Limbang Maling.
Dato Sri Huang menambah, pelbagai projek telah dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta peruntukan jabatan dan agensi berkaitan, termasuk kerja menaik taraf jalan raya, jalan rumah panjang dan sistem perparitan.
“Pelaksanaan projek berkenaan diharap dapat meningkatkan kemudahan perhubungan dan keselesaan penduduk, sekali gus menyokong pembangunan kawasan luar bandar secara lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas sokongan terhadap usaha pembangunan di kawasan Sarikei. -EDISI UKAS