JKR Sarawak Laksana 60 Penilaian Trafik Kenal Pasti Lokasi Kesesakan Di Kuching
KUCHING: Sebanyak 60 penilaian trafik telah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di sekitar bandar raya ini bagi mengenal pasti lokasi kesesakan dan merangka langkah penambahbaikan jaringan jalan raya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penilaian itu merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan serta memastikan aliran trafik di Kuching dan kawasan sekitarnya kekal lancar.
“Bagi menangani masalah ini, JKR Sarawak telah melaksanakan 60 penilaian awam trafik di seluruh Bandar Raya Kuching untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang mengalami kesesakan dan langkah penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong, di sini pada Rabu.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, beberapa projek infrastruktur telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti jaringan jalan raya di Kuching dan Kota Samarahan.
Antaranya, kerja menaik taraf lima bulatan di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan telah disiapkan selepas pelantikan kontraktor penyelamat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.
Jambatan Sejingkat pula dibuka kepada orang awam pada 5 Oktober 2026, manakala Jalan Akses Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mula digunakan pada September 2024 sebagai laluan alternatif ke Kota Samarahan.
Selain itu, projek menaik taraf Jalan Stutong daripada dua kepada empat lorong telah bermula pada Oktober 2026 bagi meningkatkan kapasiti laluan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, projek pembinaan jejambat di Batu 8, Jalan Kuching-Serian kini berada pada peringkat proses tender selepas peruntukan pelaksanaannya diluluskan Kerajaan Persekutuan.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, JKR Sarawak turut menjalankan kajian menggunakan sistem model trafik bersepadu bagi kawasan Kuching dan sekitarnya untuk mengenal pasti penyelesaian jangka panjang terhadap peningkatan jumlah kenderaan.
Kajian itu turut mengambil kira pelaksanaan sistem Pengangkutan Rapid Transit Autonomi (ART) bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam dan melancarkan pergerakan trafik menjelang 2030.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan supaya projek dilaksanakan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi manfaat yang nyata kepada pengguna jalan raya,” katanya lagi. -EDISI UKAS