Kaunter Tiket Baharu AirBorneo Di Lapangan Terbang Miri Mula Beroperasi
MIRI: Kaunter tiket baharu AirBorneo di Terminal Lapangan Terbang Miri memulakan operasinya pada 10 November 2026 bagi memudahkan urusan pembelian tiket penerbangan secara langsung.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembukaan kaunter berkenaan meningkatkan kemudahan untuk pelanggan AirBorneo yang berurusan di lapangan terbang itu.
“Kemudahan itu menggantikan meja sementara yang sebelum ini digunakan untuk urusan jualan tiket sejak kerja-kerja penyediaannya dimulakan pada Jun lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kaunter berkenaan, pada Selasa.
Selain kaunter jualan tiket, Dato Sri Lee mendedahkan AirBorneo turut merancang menyediakan ruang operasi khusus untuk menempatkan pasukan operasi darat dan operasi penerbangan.
“Ketika ini, sebahagian operasi berkenaan masih dijalankan dari pejabat di premis bersebelahan,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS