Hasil Cukai Taksiran MPKS Melonjak 112 Peratus Dalam 10 Tahun
KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) merekodkan peningkatan kutipan cukai taksiran sebanyak 112 peratus dalam tempoh 10 tahun, daripada RM7.6 juta pada 2016 kepada RM16.2 juta pada 2026.
Peningkatan itu mencerminkan perkembangan pesat Kota Samarahan sebagai kawasan pertumbuhan strategik di Sarawak, didorong pertambahan penduduk, pembangunan fizikal serta kegiatan ekonomi yang semakin rancak.
Pengerusi MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali berkata, jumlah penduduk di kawasan pentadbiran MPKS kini menghampiri 200,000 orang, manakala bilangan pegangan harta meningkat sebanyak 26 peratus daripada 39,837 pada 2017 kepada 50,084 pada 2026.
“Menjadi Majlis Perbandaran merupakan satu pengiktirafan penting terhadap kemajuan, perkembangan dan potensi Kota Samarahan sebagai sebuah kawasan pertumbuhan yang semakin strategik di negeri Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-10 MPKS dpada Rabu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak.
MPKS dinaik taraf daripada Majlis Daerah Samarahan kepada majlis perbandaran pada 11 November 2016.
Sepanjang sedekad penubuhannya, MPKS turut melakar pelbagai pencapaian termasuk Anugerah Smart Komuniti, Anugerah Cemerlang Audit Teknikal serta pengiktirafan Bandar Pintar Malaysia Tahap 1: Smart City Early Adopter 2026.
MPKS turut mencatat satu lagi pencapaian apabila Kota Samarahan menjadi bandar ke-11 di Malaysia menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Warga Emas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO Global Network for Age-friendly Cities and Communities) pada 11 November 2026.
Pengiktirafan itu membuka peluang kepada MPKS untuk memperkukuh pembangunan perbandaran yang lebih inklusif, khususnya dalam menyediakan persekitaran mesra warga emas.
Dalam aspek tadbir urus, Abang Ismawi berkata, MPKS terus memperkukuh integriti dan ketelusan menerusi penggunaan kamera badan oleh pegawai penguat kuasa, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah serta program kesedaran integriti bersama komuniti.
Menurut beliau, kerjasama dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menerusi program jerayawara di empat zon pentadbiran, iaitu Stakan, Muara Tuang, Asajaya dan Sadong Jaya turut membantu mengenal pasti keperluan penduduk serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.
Sementara itu, pembangunan Kota Samarahan terus diperkasa menerusi pelbagai projek strategik di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), termasuk Taman Tasik Desa Ilmu, Pusat Penjaja Tambirat, Samarahan Boulevard, Samarahan Park dan projek pelancongan di Sadong Jaya.
Antaranya, Samarahan Park yang meliputi kawasan kira-kira 404 hektar dirancang sebagai sebahagian daripada usaha mentransformasikan Kota Samarahan ke arah perbandaran rendah karbon dengan mengekalkan kawasan hijau sebagai keutamaan.
Projek Dataran Warisan Sadong Jaya bernilai RM31 juta pula menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi International Design, Green and Hub Award pada Oktober 2026.
Mengulas perancangan masa depan, Abang Ismawi berkata, MPKS turut merancang pembinaan ibu pejabat baharu bernilai RM55 juta di kawasan bersebelahan Samarahan Boulevard dan pejabat sedia ada.
Pelaksanaan projek itu dijangka bermula pada 2027, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.-EDISI UKAS