Pelaburan Lebih RM7 Bilion Di Tanjung Embang Pacu Permintaan Tenaga Mahir Sarawak
KUCHING: Pelaburan antarabangsa melebihi RM7 bilion dalam pembangunan kampus kecerdasan buatan (AI) di Tanjung Embang dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus menuntut Sarawak memperkukuh pembangunan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri teknologi masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kemasukan pelaburan dalam sektor teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan dan komunikasi satelit, memerlukan tenaga kerja yang memiliki kepakaran khusus serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan industri global.
“Ini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran kerana saya pernah bertanya kepada SoftBank, yang datang dari jauh, dari Tokyo ke Sarawak, ‘Mengapa memilih Sarawak?’
“Beliau berkata, selain bekalan tenaga dan air yang kita ada, beliau juga percaya Sarawak mempunyai dasar pendidikan percuma yang baik serta yakin rakyat Sarawak boleh dilatih dan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan,” dedah beliau semasa Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28, di sini pada Khamis.
Beliau menambah, pelaburan yang dirancang di Tanjung Embang itu melibatkan pembangunan kampus AI berteraskan teknologi Quantum AI yang berkait rapat dengan bidang komunikasi satelit.
“Mereka akan melabur di Sarawak menerusi pembangunan kampus AI di Tanjung Embang, sekali gus membawa kemasukan modal melebihi RM7 bilion ke kawasan berkenaan.
“Pelaburan ini berteraskan teknologi Quantum AI yang mempunyai kaitan dengan komunikasi satelit,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknologi baharu.
Katanya, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan kemasukan pelaburan supaya anak Sarawak bukan sekadar menjadi pemerhati kepada perkembangan industri berteknologi tinggi, sebaliknya berpeluang mengambil bahagian secara langsung dalam sektor berkenaan.
Jelas beliau, penyediaan tenaga kerja tempatan yang memiliki kemahiran bersesuaian amat penting bagi memastikan manfaat pelaburan antarabangsa dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti dan pembangunan ekonomi yang mampan untuk rakyat Sarawak.-EDISI UKAS