Persiapan Program Sarawakku Sayang 2026 Di Samarahan, Kuching Dipergiat
KOTA SAMARAHAN: Persiapan menjelang Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan dan Kuching terus dipergiat dengan penekanan terhadap kesiapsiagaan lokasi, kelancaran pengisian program serta penyelarasan bersepadu antara agensi kerajaan.
Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan dijadual berlangsung pada 22 hingga 23 November ini, diikuti Bahagian Kuching pada 24 hingga 25 November.
Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua mengadakan lawatan kerja ke tapak penganjuran program di Halaman Samarahan, di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 Zon Selatan bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian meninjau kemajuan persiapan bagi memastikan segala keperluan penganjuran dilaksanakan mengikut perancangan dan jadual ditetapkan.
Majlis perasmian program di Samarahan pada 23 November dan Kuching pada 25 November dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sepanjang penganjuran program itu, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran jabatan dan agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan, gerai jualan, Konsert Rakyat, Malam Budaya Sarawak serta aktiviti sukan.
Program berkenaan turut menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Selesai lawatan tapak, Datu Felicia mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Sarawakku Sayang Bahagian Samarahan dan Kuching di Bilik Mesyuarat Pejabat RISDA Sarawak.
Mesyuarat tersebut memberi penekanan terhadap komitmen semua jawatankuasa dan agensi terlibat bagi memastikan setiap aspek penganjuran diselaraskan dengan rapi, sekali gus menjamin kelancaran program serta manfaat optimum kepada rakyat.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Residen Bahagian Kuching, Hajah Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi. -EDISI UKAS