SKS Kuching Himpun 58 Agensi, Sedia 199 Perkhidmatan Untuk Rakyat
KUCHING: Sebanyak 58 agensi kerajaan dan badan berkanun akan menyediakan 199 perkhidmatan serta enam perkhidmatan bergerak menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching yang bakal berlangsung di Metro City Matang pada 24 hingga 25 November ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua berkata, Bahagian Kuching mencatatkan penyertaan agensi dan jumlah perkhidmatan paling tinggi berbanding penganjuran SKS 2026 di Bahagian Samarahan.
“Manakala di Kuching, kita bawa 58 agensi yang menawarkan 199 perkhidmatan dan kita juga bawa enam perkhidmatan bergerak.
Jadi, di Kuching adalah yang paling ramai, paling banyaklah agensi dan juga perkhidmatan yang ditawarkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Penyelarasan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan dan Kuching di Pejabat RISDA Sarawak, di sini, pada Isnin.
Antara pengisian utama yang disediakan termasuk kaunter Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, JobSarawak serta kaunter pendidikan bagi memberi penerangan mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Sektor keusahawanan turut diberi ruang menerusi Kuching Kitchen yang menghimpunkan 50 usahawan tempatan bagi menawarkan pelbagai makanan, juadah tradisional dan produk kering kepada pengunjung.
Selain itu, pavilion khas akan mempamerkan perkembangan pembangunan Sarawak, termasuk projek di bawah Greater Kuching, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta pelaksanaan projek mega negeri.
Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan, pameran, sukan rakyat dan e-peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk beberapa buah kereta sebagai hadiah cabutan utama.
Turut menjadi tumpuan ialah Konsert Rakyat pada sebelah malam yang menampilkan penyanyi veteran terkenal, Datuk Jamal Abdillah, selain cabutan hadiah e-peraduan yang akan diadakan sepanjang konsert berkenaan.
Majlis perasmian SKS 2026 Bahagian Kuching dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 25 November ini.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Residen Bahagian Kuching, Hajah Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi. -EDISI UKAS