RM717.27 Juta Perkukuh Bekalan Air Bahagian Limbang, 22 Projek Siap
LAWAS: Sebanyak 22 daripada 27 projek bekalan air di Bahagian Limbang telah disiapkan, melibatkan peruntukan keseluruhan RM717.27 juta yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan akses bekalan air bersih dan terawat kepada penduduk.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pencapaian itu mewakili 81.5 peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan di bahagian berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menambah baik kemudahan asas rakyat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur bekalan air di Bahagian Limbang terus diberikan keutamaan bagi memenuhi keperluan semasa penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kawasan berkenaan.
“Bagi Bahagian Limbang, RM717.27 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 27 projek, dengan 22 projek atau 81.5 peratus telah disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pecah Tanah Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan, Lawas, pada Selasa.
Dato Sri Julaihi menjelaskan, liputan bekalan air di Daerah Lawas kini mencapai 76 peratus, manakala Daerah Limbang mencatatkan 75 peratus berbanding liputan keseluruhan Sarawak sebanyak 86.1 peratus.
Sehubungan itu, pelaksanaan projek bekalan air baharu serta penaiktarafan kemudahan sedia ada terus dipergiat bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperluas liputan perkhidmatan dan memastikan kestabilan bekalan air untuk jangka panjang.
Antara projek utama yang telah disiapkan ialah penaiktarafan Loji Rawatan Air Berawan, Limbang yang meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 20 juta liter sehari (JLH) kepada 40 JLH.
Sementara itu, di Daerah Lawas, pembinaan Loji Rawatan Air Trusan Baharu berkapasiti 50 JLH dan Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan berkapasiti 20 JLH sedang dilaksanakan bagi memperkukuh sistem bekalan air serta memenuhi peningkatan permintaan pada masa hadapan.
Menurut beliau, Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan yang bernilai RM160.68 juta turut dirancang dengan keupayaan untuk dinaik taraf kepada kapasiti 60 JLH.
Projek berkenaan telah bermula pada 8 Jun 2026 dan dijangka siap pada 8 Disember 2028, dengan kemajuan fizikal setakat ini mencapai 1.34 peratus.
Apabila siap kelak, loji tersebut bersama Loji Rawatan Air Trusan Baharu akan berperanan sebagai loji utama dalam sistem bekalan air Daerah Lawas, selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Julaihi berkata, sebanyak 14 projek penggantian paip air lama dan uzur bernilai RM80.8 juta turut dilaksanakan di Bahagian Limbang.
Katanya, projek berkenaan melibatkan penggantian saluran paip sepanjang 119.8 kilometer yang sedang dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap menjelang 2029.
Pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian daripada Program Penggantian Paip Air Lama dan Uzur sepanjang 2,740 kilometer bernilai RM1.1 bilion di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kecekapan sistem pengagihan serta mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW).
Beliau turut menjelaskan, Kerajaan Sarawak sedang membangunkan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak melibatkan 32 loji rawatan air utama dan rangkaian saluran paip sepanjang 2,934 kilometer bagi menjamin bekalan air jangka panjang di seluruh negeri.
Sistem berkenaan akan membolehkan pengagihan air antara kawasan dan wilayah yang saling berhubung, sekali gus meningkatkan daya tahan serta kestabilan bekalan air.
Dato Sri Julaihi meambah, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan terus memperkukuh pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan projek bagi memastikan setiap kemudahan yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi manfaat kepada rakyat.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi berkaitan.-EDISI UKAS