Pemilik Tanah Seksyen 18 Diminta Tidak Jual Tanah Demi Masa Depan Generasi Akan Datang

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pemilik Tanah Seksyen 18 Diminta Tidak Jual Tanah Demi Masa Depan Generasi Akan Datang
0 Comments

SELASA, 6 APRIL 2021

KUCHING: Penduduk yang telah menerima geran tanah Seksyen 18 digesa untuk tidak menjual atau memindahkan hak milik kepada orang lain selain ahli keluarga. 

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ini supaya tanah tersebut akan dapat diwarisi anak dan cucu kita di masa hadapan. 

“Kita kena jaga betul-betul tanah ini untuk kita dan keluarga kita membina institusi kekeluargaan dalam membina rumah. 

“Keduanya, tanah ini adalah untuk warisan generasi anak dan cucu kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Tradisional Buntal Lama Kuching di Dewan Sri Buntal, Kampung Buntal Kuching pada Selasa.

Tambah Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, kawasan di sepanjang Jalan Sultan Tengah termasuk di Kampung Buntal ini akan menerima kesan positif menerusi pembangunan berterusan yang mengakibatkan nilai tanah meningkat. 

“Kampung Buntal termasuk kampung-kampung yang berada di sepanjang Jalan Sultan Tengah termasuk Kampung Rampangi hingga ke Kampung Santubong akan mengalami satu bentuk transformasi pembangunan yang hebat pada hari ini dan masa akan datang. 

“Dengan pembangunan yang berterusan ini akan mengakibatkan nilai hartanah di kawasan sepanjang Jalan Sultan Tengah termasuk Kampung Buntal ini akan naik dan diwarisi generasi akan datang,” tambahnya. 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Naroden Majais. -EDISI UKAS