Isu Telekomunikasi Dibincangkan Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Di Bawah Majlis Khas MA63

UKAS  > Edisi-Selatan >  Isu Telekomunikasi Dibincangkan Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Di Bawah Majlis Khas MA63
0 Comments

RABU, 7 APRIL 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Di Bawah Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang di adakan secara atas talian di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa. 

Mesyuarat yang diadakan untuk kali ke tiga tersebut membincangkan isu-isu khusus berkaitan telekomunikasi.

Datuk Amar Awang Tengah pada mesyuarat tersebut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi jaminan bahawa isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibincangkan secara adil pada lawatan Perdana Menteri ke Kuching baru-baru ini.

“Kita juga telah memulakan usaha ke arah ekonomi digital sejak 2017 dengan menyedari kepentingan data dan innovasi yang akan menjadi pemacu perkembangan teknologi.

“Dengan pandemik COVID-19, telekomunikasi sudah menjadi satu kemestian dan adalah wajar isu berkaitan dibincang dan diselesaikan,” katanya.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Mustapha Mohamed dan turut dihadiri beberapa menteri persekutuan seperti Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali, dan Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Haji Fadillah Yusof. -EDISI UKAS