MBM Kuatkuasakan Pematuhan SOP COVID-19 Di Pantai Lutong

RABU, 14 APRIL 2021

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan melaksanakan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVDI-19 di Pantai Lutong. 

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dalam kenyataan medianya pada Rabu berkata, penguatkuasaan SOP penting bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di Bahagian Miri. 

“Dalam keadaan seperti itu dan sebagai langkah pencegahan, MBM akan menguatkuasakan pematuhan SOP COVID-19 seperti pemakaian topeng muka, mengamalkan penjarakan fizikal, menjauhi kawasan sesak dan lain-lain lagi. 

“Mereka tidak boleh mengabaikan SOP semasa berada di tempat awam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk melindungi diri dan ahli keluarga serta orang lain,” katanya. 

Adam Yii pada hujung minggu lepas telah mengadakan lawatan ke Pantai Lutong dan menyaksikan ramai pengunjung dan penjaja meluangkan masa bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. 

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai termasuk pengunjung dan peniaga untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mematuhi SOP COVID-19. 

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengesyorkan kepada MBM supaya Pantai Lutong ditutup sekiranya orang rtamai tidak memberikan kerjasama dalam pematuhan SOP ini. -EDISI UKAS