20 Penerima Di DUN Senadin Terima Bakul Makanan Dan Wang Tunai Dalam Program Outreach Sejambak Kasih

UKAS  > Edisi-Utara >  20 Penerima Di DUN Senadin Terima Bakul Makanan Dan Wang Tunai Dalam Program Outreach Sejambak Kasih
0 Comments

JUMAAT, 7 MEI 2021

MIRI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan Program Outreach Sejambak Kasih di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak bagi meraikan mereka yang kurang berkemampuan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai pada tahun ini. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, sebanyak 20 bakul makanan dan wang tunai akan diagihkan kepada penerima yang kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin.

“Di kawasan saya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengatur 20 bakul makanan dan juga sumbangan bagi mereka yang menerima bantuan kebajikan di kawasan saya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan dan wang tunai kepada tiga orang penerima di kawasan DUN Senadin dalam Program Outreach Sejambak Kasih anjuran JKM Negeri Sarawak pada Khamis. 

Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin meminta semua rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai ini. 

“Sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai, silalah mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan kita. Marilah kita bersama-sama jaga kita, jaga diri dan juga jaga keselamatan rakyat kesleuruhannya,” ujarnya. 

Sementara itu, salah seorang penerima Fatimah Suring yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada JKM dan Datuk Lee atas sumbangan bakul makanan dan wang tunai ini. 

“Terima kasih bayak dan selamat berpuasa serta Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

“Saya berasa sedih, sebab anak saya kurang sihat kerana ada masanya baik dan kadang-kadang sakit,” katanya. 

Selain Fatimah, dua lagi penerima yang menerima bantuan Program Outreach Sejambak Kasih ialah Abas Ali dan Sina Jati Said. -EDISI UKAS