MAKSAK Dan YARM Sumbang 20 Kotak Air Minuman Kepada JKM Bahagian Bintulu

UKAS  > Edisi-Utara >  MAKSAK Dan YARM Sumbang 20 Kotak Air Minuman Kepada JKM Bahagian Bintulu
0 Comments

JUMAAT, 7 MEI 2021

BINTULU: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Bintulu dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Sarawak telah menyumbang sebanyak 20 kotak air mineral kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu.

Menurut Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu Harun Hatta, sumbangan ini bertujuan untuk diagihkan kepada golongan sasar menerusi JKM Sarawak. 

“Acara simbolik untuk menyerah 20 kotak air minuman mineral kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu untuk disampaikan kepada golongan sasar seperti ibu tunggal, golongan miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) serta golongan yang memerlukan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Simbolik Penyerahan Bantuan Program Outreach Sejambak Kasih Raya Gawai 2021 di Perkarangan Pejabat Kebajikan Bahagian Bintulu pada Rabu. 

Sumbangan telah disampaikan Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu merangkap Naib Pengerusi YARM Negeri Sarawak, Harun Hatta kepada Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu, Antabharani Osman.

Harun menambah, pihaknya juga bercadang mengagihkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan pada perayaan Hari Raya Aidilfitri. 

“Program Hari Raya Aidilfitri bersama petugas barisan hadapan tapi bukan diadakan secara terbuka, tetapi kita akan melawat mereka dengan menghantar makanan dan keperluan makanan yang diperlukan pada Hari Raya pertama semasa mereka bertugas,” tambahnya. 

Ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang telah banyak membantu untuk memerangi wabak pandemik COVID-19.

Hadir sama Penolong Pegawai Kebajikan Bahagian Bintulu, Athabarani Osman dan Setiausaha Sulit kepada Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Othman Mat. -EDISI UKAS