Rumah Sewa Berdepan Tindakan Diroboh Jika Pemilik Terus Ingkar SOP

JUMAAT, 7 MEI 2021

BINTULU: Pemilik rumah sewa bakal berdepan dengan tindakan rumahnya akan diroboh sekiranya terus ingkar dengan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing berkata, beliau telah berulang kali menasihatkan orang ramai khususnya pemilik rumah sewa untuk tidak menyewakan unit kepada penyewa baru dari luar daerah Bintulu memandangkan keadaan COVID-19 di Sarawak masih meningkat. 

“Terdapat satu kes penyewa yang telah berulang kali melintasi daerah Bintulu untuk bekerja tetapi diuji positif selepas pulang.

“Ini telah mengakibatkan rumah sewa tersebut dikenakan perintah sekatan pergerakan sebanyak tiga kali. 

“Mengapa rakyat terus berdegil dan ingkar mematuhi SOP?,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Hotel Promenade Bintulu pada Khamis. 

Tegasnya lagi, jika pemilik rumah sewa masih tidak mahu bekerjasama dan mematuhi SOP ini, mereka akan berdepan tindakan meroboh rumah tersebut oleh pihak berkuasa.

Dalam hal ini, pemiik rumah sewa tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa untuk tindakan yang lebih tegas.

Dato Seri Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China turut memberitahu terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab yang telah  menyalahgunakan laporan ujian rt-PCR bagi memohon pas perjalanan antara daerah dan juga memalsukan laporan polis.

“Keadaan ini sangat sukar dan mengecewakan dalam usaha kerajaan untuk membanteras penularan wabak COVID-19,” katanya. -EDISI UKAS