Kerajaan Sarawak Bina Bangunan Sementara Tampung Pesakit Kronik Termasuk Pesakit COVID-19 Di Hospital Bintulu

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Sarawak Bina Bangunan Sementara Tampung Pesakit Kronik Termasuk Pesakit COVID-19 Di Hospital Bintulu
0 Comments

RABU, 19 MEI 2021

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan membina sebuah bangunan sementara bagi menampung keperluan pesakit kronik termasuk pesakit COVID-19 di Hospital Bintulu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan bangunan sementara itu bagi menampung kesesakan katil dan pesakit di Hospital Bintulu yang turut menerima pesakit luar terutama dari Mukah, Dalat dan Belaga.

Menurut beliau, bangunan sementara itu akan dibina di kawasan pekarangan Hospital Bintulu dengan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Bagaimanapun, kos pembinaan bagi bangunan sementara itu sedang dalam kajian kerajaan Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak termasuk jumlah katil yang akan ditempatkan di situ kelak,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Terdahulu, Ketua Menteri menghadiri sesi taklimat khas mengenai situasi pandemik COVID-19 di Bintulu yang disampaikan oleh Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Jack Aman Luat, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung, Pengarah Hospital Bintulu, Dr Davis Johnraj dan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, JPBB Bintulu akan mengawasi projek pembangunan bangunan sementara di Hospital Bintulu kelak.

Hadir sama, Menteri Utiliti Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Seri Tiong King Sing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Intergriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Aidi Ismail dan pegawai-pegawai lain. -EDISI UKAS