Datuk Roland Sagah Lawat Projek RTP Di SJK (C) Chung Hua Batu 35

JUMAAT, 21 MEI 2021

TARAT: Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn melawat tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berjumlah RM500,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Batu 35 di sini pada Khamis.

Projek RTP 2020 menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu, bermula pada November 2020 telah mencapai 99 peratus siap dan hanya menunggu cermin untuk dipasang.

Skop pelaksanaan projek adalah membina blok mesyuarat dua tingkat dan pagar di dewan besar sekolah tersebut.

Jelas beliau, projek itu dilakukan dengan baik sekali dan akan memberikan manfaat kepada pelajar, guru dan penduduk di kawasan Tarat Cina.

Selain itu, Datuk Roland juga telah menyampaikan cecair pembersih tangan dan pelitup muka sebanyak 450 kotak sumbangan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kawasan Tarat Cina untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk di situ sentiasa berjaga-jaga bagi membendung penularan COVID-19.

“Kita harus bejaga-jaga kerana kita lihat kes positif semakin meningkat dan kita bimbang fasiliti di pusat kesihatan tidak mencukupi.

“Terutamanya yang sudah berumur dan lebih berisiko terdedah kepada COVID-19,” katanya. –EDISI UKAS