JBPM Miri Bantu JPBB Miri Hantar Bekalan Makanan Ke Mulu

UKAS  > Edisi-Utara >  JBPM Miri Bantu JPBB Miri Hantar Bekalan Makanan Ke Mulu
0 Comments

ISNIN, 24 MEI 2021

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri telah membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Mulu.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata sebanyak dua tan bekalan makanan dihantar kepada mangsa banjir di Mulu.

“Pagi ini kita telah menghantar dua sortie bekalan makanan dengan masing-masingnya 500 kg bagi setiap sortie

“Pada sebelah petang pula kita akan menghantar satu tan lagi dengan bantuan penerbangan menggunakan pesawat yang sama. 

“Jumlah keseluruhan penghantaran bantuan bekalan makanan pada hari ini kepada mangsa banjir di Mulu yang bermula sejak jam 9:30 pagi tadi adalah sebanyak dua tan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau persiapan penghantaran kecemasan bantuan bekalan bahan makanan di Pengkalan Operasi Udara Bomba Miri pada Isnin. 

Tambahnya lagi, dengan bantuan Bomba, semua bekalan bahan makanan yang diperlukan mangsa banjir telah pun berjaya dihantar dan saya mewakili JPBB Miri merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bomba Miri atas bantuan yang diberikan ini. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Law Poh Kiong yang turut berada di lokasi sama memberitahu Bomba telah membantu membuat pemantauan udara selain melakukan penghantaran makanan kepada mangsa banjir. 

“Penghantaran makanan ke Mulu sudah bermula semalam (Ahad) dan disambung pada hari ini. Hari ini pasukan unit udara Bomba akan menghantar lebih kurang dua tan bekalan makanan ke pengkalan hadapan di Mulu. 

“Kita harap semuanya berjaya dengan baik. Dan, kami juga bersyukur hasil tinjauan kelmarin mendapati banjir di Ulu Baram sudah beransur pulih.

“Sementara itu, banjir di sebelah utara telah surut dengan mengalir ke hilir. Di sebelah hilir, kita memantau menggunakan bot dan didapati ada berlakunya peningkatan paras air dan dalam terkawal setakat ini,” ujarnya. 

Penghantaran bantuan bekalan makanan kumpulan kedua dari Miri ke Mulu menggunakan khidmat pesawat jenis Agusta AW139 milik JBPM yang berpengkalan di Pengkalan Operasi Udara Bomba Miri. -EDISI UKAS