Hospital Dan Klinik Swasta Bantu Jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Di Miri

UKAS  > Edisi-Utara >  Hospital Dan Klinik Swasta Bantu Jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Di Miri
0 Comments

ISNIN, 24 MEI 2021

MIRI: Dua buah hospital dan tiga klinik swasta telah dipilih menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Miri.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin mengucapkan terima kasih kepada hospital dan klinik swasta yang bersetuju bersama membantu kerajaan dalam menjayakan program pemberian vaksin COVID-19. 

“Hospital Columbia Asia, Miri akan memulakan Program Vaksinasi COVID-19 pada Selasa. Sementara, Hospital Borneo Medical Center Miri dan tiga klinik swasta di Miri akan mula memberi vaksin kepada orang ramai pada bulan Jun.

“Vaksin yang digunakan adalah sama dengan vaksin di pusat pemberian vaksin dan dibekal serta dibeli oleh kerajaan. 

“Hospital swasta akan memberikan vaksin secara percuma kepada orang ramai berdasarkan senarai MySejahtera dan vaksin tersebut tidak dapat dibeli,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Hospital Columbia Asia pada  Isnin. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak sekali lagi menggesa orang ramai yang menerima notis temu janji vaksin COVID-19 menerusi MySejahtera hadir tepat pada waktunya dan mereka yang belum menerima notis janji temu tidak boleh pergi secara peribadi.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak hospital dan klinik swasta akan turut menyertai dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan sekaligus lebih ramai orang di Miri mendapat vaksin dengan lebih cepat. 

Hadir sama Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu, Pemangku Pejabat Daerah Miri Siti Rohanie Yusof Dan Pengurus Besar Wilayah Columbia Asia Hospital, Miri Yeoh Kim Looi. -EDISI UKAS