Datuk Amar Jaul Samion Raikan Hari Gawai Dayak Secara Atas Talian Bersama SIDS

UKAS  > Edisi-Selatan >  Datuk Amar Jaul Samion Raikan Hari Gawai Dayak Secara Atas Talian Bersama SIDS
0 Comments

RABU, 2 JUN 2021

KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan isteri, Datin Amar Evelyn Ritikos bersama dengan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) meraikan Gawai Dayak dengan ahli-ahli SIDS dengan norma baharu setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan negeri mulai 1 Jun lepas sehingga 14 Jun 2021.

Sambutan Gawai Dayak secara atas talian tersebut disambut pada malam ambang Gawai dan juga pada 1 Jun 2021 yang menjadi ruang untuk para tetamu meraikan Gawai bersama dan berkongsi pandangan mengenai norma baharu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Jaul telah berkongsi mengenai rancangan kerajaan negeri dalam memastikan semua rakyat Sarawak divaksin menjelang bulan Ogos 2021.

“Saya menggalakkan rakyat Sarawak mendaftar bagi program vaksinasi dan bersabar menunggu giliran untuk divaksin,” katanya pada Isnin.

Di samping itu, Pengerusi SIDS, Dato Ir. Alice Jawan, memberitahu, orang ramai secara tidak langsung dapat membantu pihak kerajaan melandaikan kes positif COVID-19 dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Walaupun ahli keluarga dan rakan-rakan tidak dapat pulang untuk meraikan Gawai bersama orang tersayang di kampung akibat pandemik COVID-19 tetapi mereka masih dapat bertukar ucapan dan pengalaman di pelbagai platform media seperti Zoom, Google Meet, Skype ataupun Whatsapp,” jelasnya.

Selain itu, Dato Alice menasihati ahli SIDS agar sentiasa berwaspada, memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan diri untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Turut serta meraikan Gawai Dayak atas talian tersebut adalah Datuk Stephen Mundaw, Datu Ronnie Edward dan isteri, Profesor Jayum Jawan, ketua cawangan serta ahli SIDS dari Sibu, Betong, Marudi, Samarahan dan Pengerusi Sarawak National Union Kuching (SDNU), Thaddeus Ling Allu. –EDISI UKAS