Bakul Makanan BKSS, Penduduk DUN Batu Danau Ucap Terima Kasih Kepada Kerajaan Sarawak

ISNIN, 8 JUN 2021

LIMBANG: Sejumlah 1,377 bantuan bakul makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) telah diagihkan melibatkan 13 buah Kampung Bisaya dan Iban dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata pengagihan bakul makanan BKSS kali ini melibatkan 531 bakul makanan untuk kawasan Bisaya dan 846 untuk masyarakat Iban.

“Agihan ini dilaksanakan dengan menggunakan dua pasukan petugas ke kawasan kampung dan rumah panjang. 

“Proses agihan ini yang bermula pada 6 Jun dan akan berterusan selama empat hari sehingga 9 Jun ini,” katanya semasa ditemui dalam Penyerahan Bantuan Bakul Makanan BKSS pada Ahad. 

Dalam pada itu Ketua Masyarakat Bisaya Penghulu Ekit Awang yang ditemui melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan bakul makanan BKSS ini. 

“Mewakili masyarakat Bisaya, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ADUN Paulus Palu ak Gumbang atas keprihatinan untuk mengagihkan bantuan bakul makanan ini. 

“Dengan adanya bantuan penduduk kampung berasa bersyukur dan gembira kerana agihan bantuan makanan ini amat diperlukan dalam keadaan yang terjejas dari segi ekonomi. 

“Terdapat penduduk kampung yang hilang punca pendapatan kerana tidak bekerja akibat pelaksaan PKP dan inisiatif agihan bantuan ini adalah baik dan menepati keperluan serta kehendak penduduk kampung,” katanya. 

Nada yang sama turut dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Palas Tuai Rumah Ungi Lunggat yang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan yang diberikan ini dan berharap keadaan yang berlaku ketika ini akan selamat dan pulih seperti sedia kala. 

“Saya mengucapkan terima kepada Kerajaan Sarawak dan ADUN Batu Danau kerana telah membantu penduduk di kawasan rumah panjang. 

“Kami berharap agar keadaan akan selamat dan pulih seperti sedia kala,” katanya. 

Manakala, Rosni Kaso, 60 tahun, dari Kampung Ukong turut  sama mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan bakul makanan ini yang dapat membantu penduduk pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terima kasih banyak kepada Kerajaan Sarawak dan ADUN Batu Danau atas bantuan yang diberikan ini. 

“Bantuan ini amat diperlukan dan membantu penduduk dalam menghadapi pelaksanan PKP yang membataskan aktiviti untuk mendapatkan sumber rezeki,” katanya. -EDISI UKAS