Dua Lagi PPV Baru Akan Diwujudkan Di Limbang

UKAS  > Edisi-Utara >  Dua Lagi PPV Baru Akan Diwujudkan Di Limbang
0 Comments

SABTU, 12 JUN 2021

LIMBANG: Dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baru akan diwujudkan di Bahagian Limbang sebagai langkah untuk memudah dan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat di situ.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, PPV baru itu akan ditempatkan di kawasan kampung dan hulu di sekitar Limbang.

Katanya, ketika ini PPV Dewan Suarah Limbang sudah beroperasi dengan kapasiti 400 penerima setiap hari manakala PPV Dewan Persatuan Bisaya Limbang dan PPV Dewan Masyarakat Medamit akan bermula pada 15 Jun ini.

“Kita pun telah bersetuju untuk menambahkan lagi pusat pemberian vaksin ini yang tetap, yang statik.

“Sekurang-kurangnya dua lagi, di kampung-kampung sepanjang Batang Limbang ini dan juga di kawasan hulu Limbang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) Bahagian Limbang di Pejabat Residen Bahagian Limbang pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata penubuhan pasukan klinik bergerak juga telah diluluskan untuk melaksanakan program outreach di 21 lokaliti sekitar Limbang.

“Ini adalah merupakan mobile team. Ia telah dilulus sebanyak 21 lokaliti, di kampung-kampung dan rumah panjang.

“Tapi kita telah pun bersetuju supaya ini ditambahkan lagi supaya ianya merangkumi semua penempatan-penempatan,” katanya lagi.

ADUN Bukit Sari itu turut menyeru kerjasama masyarakat di Limbang untuk mendaftar sebagai penerima vaksin melalui pelbagai kaedah yang telah disediakan bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah meninjau PPV Dewan Suarah Limbang bersama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Ahli Parlimen Limbang merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau kemudiannya menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Datuk Dr Abdul Rahman dan Paulus untuk PPV Dewan Suarah dan dari Datuk Hasbi untuk PPV Dewan Masyarakat Medamit. – EDISI UKAS