PPV Daerah Tebedu Mula Beroperasi Hari Ini

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  PPV Daerah Tebedu Mula Beroperasi Hari Ini
0 Comments

SABTU, 12 JUN 2021

TEBEDU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV)  Daerah Tebedu di Dewan Masyarakat Tebedu, telah memulakan operasinya pada Sabtu.

Menteri Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, pusat itu akan berperanan memberi vaksin COVID-19 kepada semua penduduk.

“Dijangkakan sebanyak 70 peratus penduduk kampung di Daerah Tebedu akan mendapat suntikan vaksin menjelang akhir bulan Ogos ini meliputi 75 buah kampung yang memiliki seramai 37,000 orang,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin di situ pada Sabtu.

Datuk Amar Michael Manyin memberitahu, seramai 500 orang disuntik dengan menggunakan vaksin jenis Sinovac dari tiga kampung dan selebihnya adalah kakitangan Pejabat Pos Tebedu, JPN Tebedu dan Pusat Khidmat Tebedu.

“Mereka ini adalah dari tiga kampung iaitu seramai 218 orang dari Kampung Sebintin, Kampung Payau Brus (97), Kampung Batu Bedang (192) dan selebihnya adalah kakitangan Pejabat Pos Tebedu, JPN Tebedu dan Pusat Khidmat Tebedu.

Beliau berkata lagi, operasi PPV Tebedu bermula hari ini sehingga 16 Jun depan berdasarkan bekalan vaksin yang sedia ada.

“Memandangkan bekalan vaksin adalah terhad, pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Serian mengambil keputusan untuk membuka pusat itu bermula 12 Jun hingga 16 Jun 2021 dan yang selebihnya mereka terpaksa menunggu giliran masing-masing.

Sementara itu, beliau menambah, sasaran pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Serian ialah untuk memastikan semua yang sudah mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau kaedah hibrid diberi vaksin.

Tambahnya, kaedah pendaftaran yang digunapakai di Daerah Tebedu iaitu secara hibrid yang mana pendaftaran dilakukan melalui ketua kaum dan Pejabat Daerah Tebedu.

“Kaedah ini terbukti amat berkesan berbanding penggunaan aplikasi MySejahtera yang mana kebanyakkan kampung masih menghadapi masalah capaian internet yang lambat dan perlahan,” katanya lagi.

Sementara itu beberapa orang penerima vaksin ketika ditemui berkata, masyarakat tidak perlu bimbang untuk menerima vaksin COVID-19 kerana ia adalah untuk kebaikan semua dan ia tidak membawa sebarang kesan.-EDISI UKAS