Lagi 530 Bekalan Makan Diagih Untuk Penduduk DUN Meradong

UKAS  > Edisi-Tengah >  Lagi 530 Bekalan Makan Diagih Untuk Penduduk DUN Meradong
0 Comments

ISNIN, 14 JUN 2021

BINTANGOR: Pengagihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) di kawasan DUN Meradong kini memasuki hari ketujuh pada Ahad dengan sebanyak 530 bekalan makanan telah diagihkan melalui rombongan Pusat Khidmat dan melalui ketua masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing memberitahu, ini merupakan antara langkah dan inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan setiap isi rumah yang terjejas mendapat bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang menerima bantuan tersebut adalah berdasarkan senarai yang diberikan oleh Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum di kawasan masing-masing melalui Pejabat Daerah.

“Manakala KIR bagi kawasan yang belum menerima bantuan bekalan makanan tersebut perlulah maklum dengan ketua masyarakat di kawasan dengan kadar segera,” katanya kepada UKAS selepas menyerahkan bantuan.

Sementara itu, Kapitan Wong Leh Hee dari Taman Bintang Bintangor ketika ditemui merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Datuk Ding kerana banyak membantu penduduk di situ dengan bantuan yang disalurkan selama ini. – EDISI UKAS