Lima TADIKA Bakal Dibuka Di Kawasan Penan, 123 Kakitangan SeDidik Sumbang 5% ITK

UKAS  > Edisi-Selatan >  Lima TADIKA Bakal Dibuka Di Kawasan Penan, 123 Kakitangan SeDidik Sumbang 5% ITK
0 Comments

KHAMIS, 17 JUN 2021

KUCHING : Lima Taman Didikan Kanak- Kanak (TADIKA) di bawah Program Pendidikan Komuniti (PPK) Penan telah siap bagi akses kepada Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK).

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Seri Fatimah Abdullah menerusi satu kenyataan pada Rabu, TADIKA itu ialah di Long Leng, Long Jenalong, Long Kerangan, Long Kawa dan Ba Selulong SeDidik untuk kawasan pedalaman.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah SeDidik Sdn Bhd memberitahu, pada tahun ini, pihaknya akan menghantar penyelia serta pendidik dari kesemua lima TADIKA terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di salah sebuah Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Jelasnya, ia sejajar dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk memberi guru kelayakan dan latihan sewajarnya bagi memastikan PAK di luar bandar setara dengan kualiti di bandar.

Dalam pada itu, turut dimaklumkan, 123 kakitangan SeDidik Sdn Bhd telah bersetuju menyumbang lima peratus (dua bulan) daripada Imbuhan Tetap Keraian (ITK) kepada Tabung Bencana Sarawak bagi membantu kerajaan menangani COVID-19. -EDISI UKAS