PPV Bergerak Di SK Bukit Arip Permudahkan Pemberian Vaksin COVID-19 Penduduk Luar Bandar

UKAS  > Edisi-Utara >  PPV Bergerak Di SK Bukit Arip Permudahkan Pemberian Vaksin COVID-19 Penduduk Luar Bandar
0 Comments

KHAMIS, 17 JUN 2021

SELANGAU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip ini merupakan yang kedua diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus selepas PPV di Rumah Ado. 

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, dengan adanya PPV bergerak ini memudahkan penduduk dari kawasan sekitar khususnya warga emas datang mendapatkan vaksin dan menjimatkan perbelanjaan untuk ke PPV Dewan Masyarakat Selangau. 

Katanya, lokasi PPV bergerak di SK Bukit Arip memberi manfaat kepada penduduk sekitar di Sungai Bawang, Sungai Tau dan Sungai Arip.

“Unit Bergerak Vaksin ini merupakan yang kedua diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus. PPV bergerak pertama diwujudkan di Dewan Masyarakat Punan, Rh Ado bagi kemudahan penduduk di kawasan Ulu Kakus. 

“Saya juga berharap PPV bergerak ini dapat dilaksanakan di kawasan Ladang 4 atau Ladang 3 di Mukah bagi memudahkan penduduk dari kawasan Bawan, Begeri, Sungai Duan dan Lubok Bukut mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemuai selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip, Selangau pada Selasa. 

Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus meminta masyarakat tidak mempercayai maklumat yang tidak benar atau negatif mengenai vaksin COVID-19 seperti yang tular di media sosial. 

“Kerajaan tiada cara lain untuk mengelak penularan penyakit COVID-19 selain daripada memberi suntikan vaksin. 

“Vaksin ini bertujuan untuk meningkatkan antibodi kita dan melindungi daripada dijangkiti wabak COVID-19,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap penduduk di kawasan Sungai Arip, Sungai Bawang dan Sungai Tau hadir mendapatkan vaksin COVID-19 yang dijalankan sepanjang empat hari ini.

Tambahnya lagi, peningkatan kes yang tinggi dan kewujudan beberapa kluster di Daerah Tatau selepas perayaan Gawai disebabkan tindakan tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini. 

Sementara itu, bagi Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Selangau Dr. Blitzer Biak Mussin berkata pihaknya akan berkampung di sini bagi menyediakan kemudahan penduduk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Program PPV bergerak ini akan diadakan selama empat hari berturut-turut dan berkampung di sini bagi membolehkan penduduk mudah untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

“Justeru, penduduk perlu mengambil peluang ini dengan datang ke PPV bergerak di SK Bukit Arip bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan melindungi diri, keluarga dan orang lain,” katanya. 

Pihaknya mensasarkan sekitar 2,000 penduduk daripada lebih 60 buah rumah panjang kawasan berdekatan Sungai Arip, Sungai Bawang, Sungai Anak, Sungai Tau, dan Kemena mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

Bagi Penghulu Lasit Bajieng, beliau meminta setiap tuai rumah memastikan anak buah mereka hadir ke PPV SK Bukit Arip ini bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan meminta jangan percaya kepada berita palsu mengenai vaksin COVID-19. 

“Kerajaan telah menyediakan kemudahan PPV bergerak untuk kemudahan penduduk berdekatan mendapatkan vaksin COVID-19.

“Saya memohon penduduk di Sungai Arip, Sungai Tau, Sungai Bawang, Sungai Anak untuk hadir mendapat suntikan vaksin di PPV bergerak di SK Bukit Arip. 

“Dalam pada itu, tuai rumah juga harus memastikan semua anak buah mereka mendapat suntikan vaksin, Jika ada yang tidak mahu mendapat suntikan vaksin, tuai rumah harus memujuk mereka,” katanya. 

Selepas meninjau proses vaksinasi di SK Bukit Arip, Datuk John Sikie turut mengadakan tinjauan ke Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) merata tapak Rumah Panjang Baharu Rumah Jentang Ansi dan Rumah Dicka Anthony di Sungai Anak, Selangau. 

Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Selangau Siti Zaharah Mohamad Mohmood. -EDISI UKAS