PPV Klinik Kesihatan Bako Permudahkan Penduduk Zon Bako Terima Vaksin COVID-19

UKAS  > Edisi-Selatan >  PPV Klinik Kesihatan Bako Permudahkan Penduduk Zon Bako Terima Vaksin COVID-19
0 Comments

SABTU, 19 JUN 2021

KUCHING: Dalam memastikan masyarakat Sarawak mencapai 80 peratus imuniti kelompok dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menjelang bulan Ogos 2021, kerajaan telah bersetuju menubuhkan sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Bako di Zon Bako dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, PPV Klinik Kesihatan Bako ini mensasarkan lebih kurang 6,000 orang penduduk akan menerima vaksin COVID-19.

“Pembukaan PPV Klinik Kesihatan Bako membolehkan penduduk di Zon Bako menerima suntikan vaksin yang meliputi 15 buah kampung termasuk Tanjung Embang. 

“Manakala, bagi zon lain seperti Zon Tabuan dan Zon Tanjong Bako mempunyai PPV terdekat seperti PPV Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan PPV Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya semasa ditemui selepas meninjau PPV Klinik Kesihatan Bako pada Jumaat. 

Secara keseluruhannya, dianggarkan lebih kurang 15,000 orang penduduk  di DUN Demak Laut perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Mengulas mengenai proses vaksinasi di Sarawak, Dr Hazland yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu memberitahu beliau yakin Sarawak akan dapat mencapai imuniti kelompok dalam tempoh dua bulan ini dengan syarat bekalan vaksin datang mengikut masa yang ditetapkan.

“Saya yakin Sarawak akan dapat mencapai imuniti kelompok sehingga bulan Ogos ini selepas mendapati purata masyarakat yang mendapatkan vaksin meningkat. 

“Ini dibantu pembukaan lebih banyak PPV di setiap bahagian dan menggunakan kaedah suntikan vaksin pandu lalu, dan vaksin dahulu dan daftar kemudian yang dipraktikan di kawasan luar bandar dan pedalaman,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan sukarelawan yang membantu mengendalikan proses vaksinasi di PPV Klinik Kesihatan Bako. -EDISI UKAS