Daerah Limbang Positif Capai 80 Peratus Imuniti Kelompok

UKAS  > Edisi-Utara >  Daerah Limbang Positif Capai 80 Peratus Imuniti Kelompok
0 Comments

SELASA, 22 JUN 2021

LIMBANG: Semakin ramai penduduk di Daerah Limbang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peningkatan jumlah pendaftaran penerima vaksin ini sejajar dengan pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekaligus mencapai sasaran 80 peratus Imuniti Kelompok. 

“Saya juga bersyukur kerana semakin ramai penduduk di Limbang telah mendaftar untuk menerima vaksinasi. 

“Kita di Limbang juga seperti mana tempat-tempat lain Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah ditambah dan ini memungkinkan lebih ramai penduduk di sini diberikan vaksin untuk kita akhirnya mencapai imuniti kelompok,” katanya semasa ditemui selepas menyerahkan Sumbangan Keperluan Sekatan Jalan Raya (SJR) Kepada PDRM Daerah Limbang di hadapan Kompleks Sukan Limbang, Kampung Bangkita pada Ahad. 

Sehingga kini, Daerah Limbang telah kembali berstatus hijau dan ini menunjukkan masyarakat telah memberikan kerjasama untuk mengekang  penularan COVID-19 ini dengan mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Mengulas mengenai SJR, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu di Limbang ada 3 lokasi SJR iaitu di hadapan Balai Polis, kedua di hadapan Kompleks Sukan Limbang dan satu lagi di hadapan Pusat Giat MARA Limbang.

“Hasil daripada tinjauan Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri minggu lepas beliau telah mencadangkan agar kemudahan di SJR diperbaiki. 

“Alhamdulillah Datuk Amar Awang Tengah telah setuju untuk menyumbang 6 kanopi arabian, 3 di Limbang dan 3 di Lawas. 

“Manakala, saya sendiri turut menyumbang beberapa keperluan untuk SJR ini yang mana mereka beroperasi 24 jam sehari.

“Kita telah menyumbang barangan keperluan setempat seperti kerusi, meja, peralatan elektrik, kipas, pemanas air dan lain-lain,” katanya. 

Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang turut menyumbang makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan dalam memberikan semangat kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka.

Turut sama hadir ialah Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Limbang, IPD Limbang ASP Khairul Ridzuan Ahmad. -EDISI UKAS