Halang Kemasukan PATI, Bimbang Pembawa Varian Delta COVID-19 Ke Sarawak: Tan Sri James Masing

UKAS  > Edisi-Selatan >  Halang Kemasukan PATI, Bimbang Pembawa Varian Delta COVID-19 Ke Sarawak: Tan Sri James Masing
0 Comments

JUMAAT, 25 JUN 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing prihatin dengan berita yang dilaporkan mengenai arahan ‘lockdown’ di Jawa Indonesia baru-baru ini.

Menurut beliau, 107 kes daripada 12,624 kes baharu yang dikesan di Jawa Tengah adalah Varian Delta dari India lebih mudah berjangkit dan berbahaya dan pihak hospital di wilayah itu sudah tidak mampu mengawalnya.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Imigresen yang bertugas menjaga perbatasan kita dengan Indonesia melaporkan pendatang asing tanpa izin (PATI) terus melintasi sempadan melalui jalan tikus meskipun diusir beberapa kali,”katanya.

Beliau menambah, sebilangan daripada PATI ini berasal dari Jawa dan pulau-pulau berhampiran di mana Varian Delta COVID-19 dijumpai dan mereka boleh menjadi pembawa varian merbahaya tersebut ke Sarawak.

“Ini mesti dicegah dengan apa cara sekalipun dan saya meminta ATM, PGA dan Jabatan Imigresen terus berjaga-jaga namun ianya bukan tugas yang mudah kerana lokasi jalan tikus berubah setiap hari.

“Kemasukan PATI juga masih berterusan walaupun kita mempunyai pasukan bertugas menggunakan kemudahan seperti ATV, ‘scamblers’, dron dan kemudahan telekomunikasi bagi mengawal sempadan,”katanya lagi. –EDISI UKAS