Polis Tumpas Sindiket Judi Dalam Talian Di Sebuah Kediaman Mewah

UKAS  > Edisi-Selatan >  Polis Tumpas Sindiket Judi Dalam Talian Di Sebuah Kediaman Mewah
0 Comments

SABTU, 26 JUN 2021

KUCHING: Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian di sebuah kediaman mewah di Jalan Lapangan Terbang 5 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah memberitahu, dalam serbuan kira-kira pukul 10.45 pagi itu, seramai 4 orang operator warga tempatan dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun turut berjaya diberkas.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan mempromosikan judi dalam talian dengan golongan sasaran adalah orang tempatan

“Mereka menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, WeChat dan juga Facebook. Premis ini didapati beroperasi 24 jam sehari dengan setiap syif dibahagikan kepada 12 jam.

“Kediaman tersebut turut menjadi tempat tinggal kepada kesemua pekerja dengan bayaran sebanyak RM2,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sindiket berkenaan difahamkan telah beroperasi selama lebih kurang 6 bulan bermula awal tahun ini dengan memperoleh keuntungan kira-kira RM20,000 dalam sehari.

Tambah beliau lagi, pihak polis turut merampas 7 unit monitor komputer, 7 unit pemprosesan komputer, 22 buah telefon bimbit, router dan peralatan lain kegiatan perjudian dalam talian.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih dari RM5,000 dan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.

“Kesemua suspek tersebut akan direman di Mahkamah Kuching hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.-EDISI UKAS