Program Pemberian Vaksin Secara ‘Outreach’ Bantu Capai Imuniti Kelompok Di Daerah Kecil Padawan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Program Pemberian Vaksin Secara ‘Outreach’ Bantu Capai Imuniti Kelompok Di Daerah Kecil Padawan
0 Comments

ISNIN, 28 JUN 2021

PADAWAN: Pelaksanaan pemberian vaksin secara ‘outreach’ atau turun padang di Daerah Kecil Padawan berada di landasan yang betul dan setiap lapisan masyarakat akan divaksin demi mencapai imuniti kelompok menjelang hujung Ogos 2021.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, setakat 28 Jun 2021, terdapat tiga klinik yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Daerah Kecil Padawan iaitu Klinik Kesihatan (KK) Bra’ang Bayur, Klinik Desa Bunuk dan Klinik Desa Padawan.

Manakala ujarnya, Rajah Brooke Memorial Hospital, Klinik Teng Bukap dan Klinik Bengoh bukan merupakan PPV.

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada ketiga-tiga klinik yang menjadi PPV secara ‘outreach’ di Daerah Kecil Padawan, jumlah pemberian vaksin dalam tempoh seminggu bagi minggu pertama adalah 360 dos.

“PPV Klinik Desa Benuk yang melakukan pemberian dos suntikan vaksin pada 14 Jun lepas mencatatkan seramai 640 orang atau 50.7 peratus daripada 1,261 orang jumlah pemohon vaksin membabitkan 10 buah kampung,” katanya dalam sidang media selepas diberi taklimat berkenaan pemberian vaksin Daerah Kecil Padawan di Klinik Kesihatan Bra’ang Bayur pada Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Residen Kuching, Mackos Sibong, Pegawai Daerah Kuching, Awang Yusup Awang Mostapha serta pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menambah, manakala PPV KK Bra’ang Bayur mencatatkan seramai 640 orang atau 26.5 peratus daripada 2,245 orang jumlah pemohon membabitkan 13 buah kampung sejak pemberian dos vaksin dimulakan pada 16 Jun lepas.

Seterusnya kata beliau, pemberian dos suntikan vaksin bagi PPV Klinik Desa Padawan membabitkan 16 buah kampung sejak dimulakan pada 14 Jun lepas pula mencatatkan seramai 640 orang atau 45.3 peratus daripada 1,413 orang pemohon.

“Program sama di PPV Klinik Perubatan Batu 10 yang mencatatkan seramai 1,913 orang pemohon vaksin dari sembilan buah kampung pula akan dimulakan pada 29 Jun ini.

“Kita berharap akan dapat menambah jumlah pemberian dos suntikan dan kita berterima kasih atas usaha yang dilakukan oleh PDK Padawan yang menyelaras klinik di kawasan ini dalam memastikan setiap kampung-kampung mudah untuk dilakukan vaksinasi.

“Dua kampung yang sudah divaksinasi iaitu Kampung Jambu dan Kampung Bayur dan seterusya pada hari ini di Kampung Karu,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau juga berharap vaksinasi yang dijalankan ke kampung-kampung akan mendapat maklumbalas yang baik daripada penduduk yang telah divaksin.

Tambahnya lagi, prestasi program ‘outreach’ bagi empat buah klinik yang baru dimulakan dua minggu itu diharap akan dapat ditingkatkan pada minggu-minggu akan datang.

Empat buah klinik yang terlibat adalah membabitkan 48 buah kampung itu merekodkan seramai 1,920 orang atau 28.1 peratus telah divaksin setakat 26 Jun lepas manakala anggaran jumlah penduduk yang layak terima vaksin adalah seramai 6,832 orang.

“Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) juga turut dilakukan bagi penduduk kampung Muk Ayun, Kampung Bojang Sting, Kampung Nyegal dan Kampung Sapit melibatkan 112 orang yang perlu divaksinasi.

“FDS memang sudah sedia ada, hanya kita gunakan FDS ini sebagai pelengkap dari segi membawa vaksin menggunakan peti penyimpanan sejuk di kawasan pedalaman terutamanya bagi empat kawasan tadi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jawatankuasa Pengurusan Vaksin DUN Mambong yang ditubuhkan akan membantu menyelaras bantuan kepada klinik untuk melaksanakan proses vaksinasi.

“Saya telah memberi bantuan sebanyak RM200,000 bermula pada 21 Jun lepas untuk meringankan bebanan pihak klinik sehingga semua rakyat di kawasan Mambong divaksinasi menjelang hujung Ogos 2021,” katanya. -EDISI UKAS