85 Peratus Penduduk Bintulu Terima Vaksin COVID-19 Menjelang Ogos 2021

UKAS  > Edisi-Utara >  85 Peratus Penduduk Bintulu Terima Vaksin COVID-19 Menjelang Ogos 2021
0 Comments

JUMAAT, 2 JULAI 2021

BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu mensasarkan 85 peratus penduduk Bintulu terima vaksin COVID-19 menjelang Ogos ini dengan 6,000 penduduk di vaksin setiap hari. 

Menurut Menteri Bertanggungjawab JPBB Bintulu Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, untuk mencapainya Kerajaan Persekutuan perlu terus membekalkan vaksin COVID-19 mengikut jadual yang telah ditetapkan agar pemberian vaksin ini dapat diselesaikan menjelang akhir Ogos ini. 

“Kita telah berjaya memberikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di bandar dengan mengadakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Program Outreach Vaksinasi bagi penduduk di luar bandar di mana pasukan bergerak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bergerak ke kawasan Tubau, Jelalong, Pandan dan Binyo.

“Kaedah hibrid digunakan dengan suntik dahulu dan daftar kemudian supaya nama mereka akan tersenarai dalam pangkalan data penduduk yang telah divaksin,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Kelab Kidurong pada Khamis. 

Program Outreach Vaksinasi ini dilakukan bagi membolehkan penduduk di luar bandar dan pedalaman mendapat vaksin COVID-19 dengan tidak perlu pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bandar dan mendaftar di aplikasi MySejahtera disebabkan ketiadaan capaian internet. 

Datuk Seri Dr Stephen Rundi yang juga Menteri Utiliti Sarawak menyeru masyarakat sentiasa memberi kerjasama dan menyokong petugas barisan hadapan di dalam menjalankan tugasan mengekang penularan pandemik COVID-19. 

“Apa yang kita lihat sekarang ini, kes positif COVID-19 di Sarawak sedikit memberangsangkan. Bagaimanapun, tiada apa yang perlu dibanggakan, kerana petugas barisan hadapan masih bertungkus lumus walaupun begitu situasi masih terkawal.

“Oleh sebab itu, kami memerlukan kerjasama dari semua rakyat agar membantu dan memberikan kerjasama kepada barisan hadapan seperti petugas jabatan kesihatan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya. 

“Kami tiada pilihan lain selain daripada melakukan sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas dan perlu melakukan swab test kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diperketatkan memandangkan kes di Bintulu, Kuching, Miri, Sibu telah mencatatkan kes yang paling tinggi hampir setiap hari,” ujarnya. 

Walaupun kes telah menurun pada masa sekarang, tapi perlu diingatkan bahawa ini bukan penghujungnya kerana kita masih bertungkus lumus dan berjuang.

Hadir sama Timbalan Residen Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat LNG Malaysia Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi, Pengurus Besar Kanan, PETRONAS Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas Peter Majid Tandom dan Kumpulan Pengurus Besar Procurement Bintulu Baharin Osman. -EDISI UKAS