100 Penduduk Rumah Panjang Ulu Spak, Betong Lengkapkan Pengambilan Vaksin

UKAS  > Edisi-Tengah >  100 Penduduk Rumah Panjang Ulu Spak, Betong Lengkapkan Pengambilan Vaksin
0 Comments

ISNIN, 5 JULAI 2021

BETONG: Seramai 100 penduduk dari empat buah rumah panjang di kawasan Ulu Spak, Betong boleh menarik nafas lega selepas melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Proses pemberian vaksin secara bergerak itu diadakan pada Ahad bertempat di Klinik Kesihatan Nanga Mujau, Spak, Betong.

Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Beti Eli, Mujau; Rumah Tila Enduya, Luing; Rumah Kasa Neru, Ijok dan Rumah Injong Belimbi, Penyuin.

ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu yang meluangkan masa meninjau operasi itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para petugas kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Betong dan Pejabat Residen Bahagian Betong dalam memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.

Katanya, PPV bergerak itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memudahkan penduduk pedalaman seperti di kawasan Spak mendapat vaksinasi.

Sementara itu, salah seorang penerima, Valentina Chendu Renang dari rumah panjang Nanga Mujau, Spak yang sempat ditemubual UKAS amat berterima kasih kepada pihak kerajaan terutama ADUN Layar kerana membawa perkhidmatan vaksinasi bergerak itu di kawasan itu.

Dalam program berasingan, Gerald berkesempatan menyampaikan sumbangan buku kerja daripada pihak Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar untuk para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan Nanga Lawih, Spak, Betong dan Sekolah Kebangsaan Nanga Spak, Betong.

Pihak sekolah berkata buku tersebut akan diedarkan kepada para pelajar dan bakal memberi manfaat kepada mereka khasnya dalam menjalani sesi persekolahan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR).

Mereka turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ADUN Layar dan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar di atas sumbangan buku kerja tersebut. – EDISI UKAS