Belanja Peruntukan MRP Untuk Pembangunan Rumah Panjang

UKAS  > Edisi-Utara >  Belanja Peruntukan MRP Untuk Pembangunan Rumah Panjang
0 Comments

ISNIN, 5 JULAI 2021

SELANGAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang diminta membelanjakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan penduduk rumah panjang. 

Gesaan ini disuarakan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie anak Tayai dalam ucapannya semasa menyerahkan cek MRP ADUN Kakus di Rumah Roselind Ansam, Sungai Arip pada Ahad. 

“Cek MRP perlu diagihkan ketika ini kerana ia tertakluk kepada tempoh dan diagihkan secara berperingkat tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Peruntukan MRP yang disampaikan ini bergantung kepada JKKK untuk membelanjakan bagi projek pembangunan rumah panjang. 

“Pengerusi JKKK atau tuai rumah perlu memaklumkan kepada setaip ahli JKKK dan penduduk berkenaan dengan peruntukan MRP supaya ianya diketahui,” katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 9 cek telah diagihkan kepada JKKK Rumah Panjang di kawasan Sungai Bawang dan Sungai Arip, Selangau dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM406,000. 

Antara JKKK rumah panjang yang menerima cek MRP ialah JKKK Rh Bagol, JKKK Rh Chuwat, JKKK Rh Sigan, JKKK Rh Jarau, JKKK Rh Sawan, JKKK Rh Anggok, JKKK Rh Lanting, JKKK Rh Mambang dan JKKK Rh Roselind. 

Bagi mematuhi SOP, hanya tuai rumah atau wakil JKKK sahaja dibenarkan hadir dan menerima cek tersebut. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut mengulangi gesaan agar semua penduduk yang berkelayakan mendapatkan vaksin COVID-19 dan mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika berada di luar dan sentiasa membersihkan tangan serta tidak berada di kawasan yang sesak. -EDISI UKAS