Peranan Rakyat Penting Pastikan Usaha Perangi COVID-19 Berjaya

RABU, 21 JULAI 2021

KUCHING: Peranan rakyat amat penting untuk memastikan kejayaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

Menyifatkan peperangan tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas optimis kejayaan dapat dicapai dengan adanya kerjasama daripada rakyat.

“Peperangan ini bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara yang perlu diambil kira dari segi keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Namun dengan adanya kerjasama, komitmen dan kefahaman rakyat kita akan berjaya memerangi penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Sarawak 2021 pada Rabu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga demi kesihatan dan keselamatan semua.

“Dengan peluang ini, saya juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua barisan hadapan yang telah bekerja bertungkus lumus, siang dan malam dalam memerangi wabak COVID-19 ini demi kesihatan dan keselamatan semua rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kini Sarawak fokus kepada usaha memberi vaksin kepada semua rakyat di Sarawak.

Jelasnya juga, sehingga 14 Julai, Sarawak telah Berjaya memberi suntikan dos pertama kepada 1,559,655 individu atau 74.8 peratus dan dos kedua kepada 768,358 (36.9%).

Dalam perutusan sama, Datuk Amar Douglas Uggah turut mengajak rakyat terus bersatu-padu dan bekerjasama untuk menjadikan negeri berstatus maju menjelang tahun 2030.

“Melalui sambutan Hari Sarawak, rakyat Sarawak akan menghayati sejarah dan pengorbanan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin dahulu dalam membentuk persefahaman dan penyatuan kaum serta memastikan kestabilan ekonomi, politik dan sosial negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, tarikh 22 Julai merupakan detik sejarah yang harus diketahui oleh setiap rakyat Sarawak khasnya peristiwa yang berlaku sehingga Sarawak diberi kuasa untuk memerintah diri.

“Bagi rakyat yang lahir sebelum tahun 1963, mereka telah menyaksikan kepada bagaimana kedaaan negeri Sarawak ketika itu berbanding dengan keadaan sekarang.

“Banyak yang sudah berubah dari segi sektor ekonomi, sosial, fizikal dan politik,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan sambutan Hari Sarawak sekali lagi dianjurkan pada skala kecil memandangkan pandemik COVID-19 masih melanda. -EDISI UKAS