Bantuan Ihsan RM700 Kepada Setiap Rumah Terjejas Akibat Banjir

ISNIN, 26 JULAI 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersetuju meluluskan sumbangan ihsan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Daerah Lawas baru-baru ini. 

Katanya, mereka yang terjejas akibat banjir akan diberikan bantuan ihsan sebanyak RM700 untuk setiap rumah. 

Perkara ini dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Simbolik Penyerahan Bakul Makanan Program Ziarah UKAS di Perkarangan Pejabat Daerah Kecil Trusan pada Ahad. 

Seramai 50 Ibu Tunggal dari lapan buah kampung menerima bantuan makanan dengan simbolik penyerahan kepada 10 orang dan penyerahan ‘Fog Sanitizer’ untuk Masjid Trusan. 

Banjir yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan 2,535 buah rumah dan berlaku dua kali dalam tempoh dua bulan. 

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, Jabatan Pertanian Sarawak akan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir. 

“Mereka akan dibantu dengan memulakan semula tanaman yang rosak akibat banjir.

“Begitu juga dengan jalan raya yang akan dibina melintasi Pekan Trusan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan kelulusan pembesaran kampung di Daerah Trusan dan membina Anjung Usahawan, kedai-kedai dan kemudahan lain sebagai usaha menaikkan taraf hidup penduduk. 

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas. -EDISI UKAS