Harga Minyak Masak Sawit Botol 5 Kilogram Dikawal Tidak Melebihi RM30 Sebotol

UKAS  > Edisi-Selatan >  Harga Minyak Masak Sawit Botol 5 Kilogram Dikawal Tidak Melebihi RM30 Sebotol
0 Comments

ISNIN, 2 OGOS 2021

KUCHING: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan Harga Runcit Maksimun bagi minyak masak sawit tulen tidak melebihi RM30 sebotol. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Mogan a/l Arumugam dalam kenyataan media Isnin berkata, susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan dalam membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia. 

“Kerajaan telah bersetuju melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. 

Melalui program ini, harga minyak masak sawit botol 5 kilogram diputuskan untuk dikawal supaya harganya tidak melebihi RM30.00 sebotol. 

“KPDNHEP telah mewartakan harga minyak masak sawit tulen melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (NO.6) 2021 yang telah berkuat kuasa 1 Ogos 2021.

“1 kg berharga RM6.70, 2 kg berharga 12.70, 3 kg berharga RM18.70 dan 5 kg berharga RM29.70,” katanya 

Mogan turut memaklumkan KPDNHEP Sarawak telah menjalankan pemeriksaan di 56 premis perniagaan di sleuruh Sarawak pada Ahad. 

“Pemantauan dan pemeriksaan berterusan akan dilakukan setiap hari di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman oleh 179 pegawai penguatkuasa dan 101 Pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sarawak bagi memastikan pematuhan terhadap harga maksimum minyak masak sawit ini disamping memastikan kedudukan bekalan barang-barang keperluan asas adalah terkawal dan stabil,” ujarnya. 

Ujar kenyataan itu lagi, tindakan akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Perintah ini. 

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. 

Untuk rekod, bermula 1 Januari hingga 1 Ogos 2021, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 41,913 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar. 

Sepanjang tempoh ini, KPDNHEP Sarawak telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 841 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM1,803,675.19 dan jumlah kompaun sebanyak RM87,300. 

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, bilik gerakan KPDNHEP Negeri Sarawak dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari (bagi pejabat negeri) dan 8.00 pagi hingga 5.00 petang (bagi pejabat cawangan) dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan seperti PPDNHEP KUCHING 082-466052, PPDNHEP SRI AMAN 083-323836, PPDNHEP SARIKEI 084-657751, PPDNHEP SIBU 084-329202, PPDNHEP KAPIT 084-799678, PPDNHEP BINTULU 086-332176, PPDNHEP MIRI 085-412862, PPDNHEPLIMBANG 085-217414, PPDNHEP MUKAH 084-872726 dan PPDNHEP LAWAS 085-283650. -EDISI UKAS