BKSS 7.0 Dilancar Untuk Perkasa Aktiviti Perusahaan, Perniagaan

RABU, 4 OGOS 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melancarkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 berjumlah lebih RM800 juta bagi memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan dalam tempoh peralihan Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, BKSS 7.0 merangkumi tiga langkah baharu.

Menurut beliau, antara langkah yang bakal dilaksanakan kelak adalah, Bantuan Khas Kewangan One-Off Berjumlah RM10,000 kepada perniagaan aktif yang berdaftar dengan SOCSO, pelonggaran polisi perolehan kerajaan akibat pandemik COVID-19 dan pembaharuan permit pekerja asing untuk sektor pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Langkah-langkah ini diharap akan membantu kelangsungan aktiviti perusahaan dan perniagaan di Sarawak yang berada dalam Pelan Pemulihan Negara dan seterusnya menggerakkan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran BKSS 7.0 dan Majlis Simbolik Penyerahan BKSS 6.0 di Yayasan Sarawak, Kuching pada petang Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut berharap BKSS 6.0 yang sedang dilaksanakan dapat membantu rakyat  dalam menghadapi kesukaran kehidupan pada masa ini serta berpesan agar bantuan tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kelangsungan kehidupan harian keluarga masing-masing.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan merangkap Menteri Belia & Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri-Menteri Kabinet dan dif-dif kehormat yang lain.- EDISI UKAS