Dua Operasi Berjaya Selamatkan Gelandangan, Cadang Langkah Pendek Dan Jangka Panjang Menangi Isu Gelandangan

UKAS  > Edisi-Utara >  Dua Operasi Berjaya Selamatkan Gelandangan, Cadang Langkah Pendek Dan Jangka Panjang Menangi Isu Gelandangan
0 Comments

ISNIN, 9 OGOS 2021

MIRI: Dua operasi gelandangan telah dilaksanakan di Bandaraya Miri dalam usaha menyelamatkan mereka daripada penularan COVID-19.

Menteri Bertanggungjawab Jawatakuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata gelandangan yang telah diselamatkan telah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan dijalankan ujian calitan COVID-19 sebelum diberikan suntikan vaksin COVID-19. 

“Kita telah melaksanakan dua kali operasi gelandangan di bandaraya Miri. 

“Pertama, kita telah tempatkan mereka Balai Raya Kampung Lereng Bukit dan mereka telah menerima suntikan vaksin. 

“Baru-baru ini kita juga telah membuat satu lagi operasi melibatkan gelandangan di bandaraya Miri dan mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Batu,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan Bahagian Miri dan Cadangan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dan Pusat Sokongan Sosial Komuniti Miri pada Ahad. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mencadangkan kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dua langkah jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menangani masalah gelandangan di Sarawak. 

“Pada jangka masa pendek, kita tidak mahu mereka (gelandangan) balik ke jalan-jalan seperti di kaki lima dan menjadi gelandangan kembali.

“Jangka masa panjang, saya cadangkan supaya kita ada satu pusat khas untuk menempatkan gelandangan sesiapa yang didapati lepak dan tidur di kaki lima kita harus tempatkan mereka di satu tempat dan satu pusat di mana mereka boleh diberi latihan, kemahiran dan sebagainya supaya mereka boleh mempunyai cara hidup normal,” ujarnya. 

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui memaklumkan Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Sarawak telah dilaksanakan di sembilan buah bahagian dengan kerjasama bersepadu Pejabat Residen, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Jelasnya, Kerajaan Sarawak bermatlamat agar tiada rakyat Sarawak yang tertinggal untuk disuntik vaksin COVID-19 demi mencapai imuniti kelompok. 

“Setakat ini, seramai 36 orang atau 38 peratus gelandangan telah divaksin dengan mendapat sekurang-kurangnya dos yang pertama dengan 16 orang di Miri, 6 di Kuching, 1 di Samarahan, 7 di Sarikei, 3 di Serian, 1 di Betong dan 2 di Kapit,” jelasnya. 

Hadir sama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Noriah Ahmad, Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr. Zufar Yadi Brendean Abdullah, Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS