Kadar Vaksinasi OKU, Pendidik, Pengasuh, Pembantu IPAKK Dan Warga Emas Sangat Baik

UKAS  > Edisi-Utara >  Kadar Vaksinasi OKU, Pendidik, Pengasuh, Pembantu IPAKK Dan Warga Emas Sangat Baik
0 Comments

ISNIN, 9 OGOS 2021

MIRI: Kadar vaksinasi Orang Kurang Upaya (OKU), pendidik, pangasuh dan pembantu di Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) serta warga emas sangat baik. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah  berkata, bagi OKU kadar vaksinasi setakat 5 Ogos 2021 merekodkan lebih 12,000 dos pertama dan lebih 8,000 dos kedua. 

“Mengikut rekod kami, jumlah OKU yang telah mendapat dos satu seramai 12,978 dan yang telah mendapat dos kedua seramai 8,442,” katanya sidang media selepas mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan Bahagian Miri dan Cadangan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dan Pusat Sokongan Sosial Komuniti Miri pada Ahad. 

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang telah memberi kerjasama dalam memberikan vaksinasi kepada pendidik, pengasuh dan pembantu di Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) 

“Berdasarkan rekod untuk pengasuh dan pendidik di Tadika dan Taska, bilangan mereka yang telah menerima dos pertama sebanyak 98 peratus dan yang telah menerima dos kedua sebanyak 61 peratus. 

“Di Taska pula, sebanyak 98 peratus mendapat suntikan dos pertama dan dos kedua 68 peratus. 

“Sementara pembantu pendidik di Tadika yang telah mendapat suntikan vaksin dos pertama 99 peratus manakala doa kedua 55 peratus.

“Di Taska 98 peratus telah mendapat vaksin dos pertama manakala 57 peratus lagi mendapat dos kedua,” ujarnya. 

Turut dijelaskan jumlah kadar vaksinasi warga emas di Sarawak berdasarkan maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak setakat 5 Ogos 2021. 

“Sebanyak 339,880 warga emas telah mendapat suntikan vaksin dos pertama manakala dos dua pula seramai 303,206 orang. 

“Kadarnya adalah sangat tinggi disebabkan mereka telah diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin COVID-19 menerusi Fasa 2,” jelasnya. 

Hadir sama Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri merangkap Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Noriah Ahmad, Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr. Zufar Yadi Brendean Abdullah, Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS