Kerajaan Sarawak Pastikan Ordinan Pengedaran Gas 2016 Dilaksana Dan Dikuatkuasakan

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Pastikan Ordinan Pengedaran Gas 2016 Dilaksana Dan Dikuatkuasakan
0 Comments

KHAMIS, 12 OGOS 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak telah mengawal penuh ke atas aktiviti pengedaran gas di negeri ini menerusi Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO2016). 

Menurut Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, ordinan ini bertujuan memberikan peruntukan kepada Sarawak untuk mengatur semua kegiatan dan mengembangkan industri pengedaran gas di negeri ini. 

“Kita mesti melakukan pembaharuan dengan mengawal sepenuhnya pengedaran gas di Sarawak. 

“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memastikan aktiviti pengedaran gas yang dilakukan itu bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan baik, tetapi juga mempunyai aktiviti yang berkualiti,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perasmian 1st Sarawak Hybrid Seminar On Gas Operation Management at Domestic, Commercial & Industrial Building di Hotel Pullman Miri pada Rabu.

Seramai 50 peserta telah mengambil bahagian secara bersemuka dan 200 peserta lagi hadir menerusi aplikasi zoom.

Dalam pada itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut memaklumkan Kementerian Utiliti Sarawak akan memastikan Ordinan Pengedaran Gas 2016 dilaksana dan dikuatkuasakan bagi memastikan pembekalan perkhidmatan pembekalan gas selamat kepada rakyat. 

“Kementerian Utiliti Sarawak bertekad untuk melaksana dan menguatkuasakan peruntukan Ordinan Pengedaran Gas 2016 untuk memastikan pengedaran gas di Sarawak dikawal sepenuhnya dan rakyat mendapat perkhidmatan pembekalan gas yang selamat, boleh dipercayai dan berkualiti,” ujarnya. 

Hadir sama Kementerian Utiliti Sarawak Dato Ir Alice Jawan Empaling, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman@Husaini, Pengurus Besar Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Kiddney Ena dan Datuk Bandar Miri, Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS