Lima Kampung Dikenakan PKPD Di Daerah Kecil Sematan Terima Sumbangan Makanan

KHAMIS, 12 OGOS 2021

LUNDU : Seramai 797 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada lima buah kampung di daerah kecil Sematan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan makanan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu pada Rabu.

Lima buah kampung tersebut adalah Kampung Sebat Melayu, Kampung Sebat Baru, Kampung Tanah Hitam 1, Kampung Tanah Hitam 2 dan Kampung Temaga Melayu.

Sumbangan telah diterima oleh Penghulu Jumahdi Sabian di Bilik Gerakan Operasi PKPD, Dewan Pejabat Daerah Kecil Sematan dan disaksikan oleh wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Lundu, Hershad Ehsan Haman bersama Roslinda Abdul Razak.

Proses pengagihan makanan pula dijalankan oleh Ahli Pusat Khidmat ADUN Tanjong Datu dan dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Daerah Lundu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Lundu serta RELA Daerah Lundu. – EDISI UKAS